mutakhir

12.2 hektar hutan, ladang harumanis terbakar

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KIRA-KIRA 12.2 hektar kawasan hutan dan ladang mangga harumanis di tiga bukit di Perlis terbakar bermula petang semalam hingga tengah malam tadi.

Difahamkan kebakaran berpunca akibat pihak tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka dan tidak mengawal api di kawasan tiga bukit berkenaan.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 2 (PBK2) Mohd Faizal Abu Shahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4 petang semalam dan kebakaran membabitkan kawasan di Bukit Chuping, Bukit Temiang dan Bukit Tunjong.

Beliau berkata, seramai 48 anggota terdiri daripada empat pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Besar dan BBP Kangar dikerahkan ke tempat kejadian dengan kerja pemadaman dilakukan secara bergilir antara pasukan.

“Kebakaran bermula 4 petang semalam memusnahkan kawasan hutan di puncak Bukit Temiang sebelum ia merebak ke kawasan ladang harumanis Bukit Tunjong seluas 2.2 hektar memandangkan kedua-dua bukit itu terletak bersebelahan.

“Manakala di Bukit Chabang, kebakaran membabitkan 10 hektar kawasan hutan di sekeliling bukit bermula tidak lama selepas kebakaran di dua bukit itu berlaku,” katanya.

Mohd Faizal berkata, pihaknya mengalami kesukaran menggunakan pili air daripada jentera pemadam api berikutan kawasan berbukit disamping faktor muka bumi membataskan pergerakan jentera.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan ‘Water Spray’ berupa beg air digalas anggota bomba dan alat pemerap api memandangkan kesan kebakaran daripada kayu hutan akan merebak ke kawasan penempatan penduduk berhampiran bukit sekiranya penggunaan pili air dari jentera bomba dilakukan.

“Setakat ini api berjaya dikawal pada 12.30 tengah malam, namun operasi tidak tamat sepenuhnya kerana masih ada bara menyala.

“Kami akan meninjau semula keadaan ketiga-tiga bukit itu hari ini,” katanya.

Sementara itu, pemilik ladang harumanis, Ong Beng Guan, 67, berkata hampir separuh ladangnya musnah akibat kebakaran dan mengalami kerugian besar berikutan ia adalah kejadian kedua dialaminya.

“Tahun lalu, ladang saya pernah terbakar dan ketika itu saya mengusahakan tanaman durian dan semua anak pokok musnah sama sekali sehingga saya kerugian puluhan ribu ringgit.

“Kali ini, kebakaran sempat dikawal pihak bomba tetapi kerugian itu tetap ada kerana ada beberapa kawasan di Bukit Tunjong turut ditanam pokok mangga harumanis,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 11:06am
d