mutakhir

Nik Ros Azhan Ketua JSJ KL baharu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BEKAS Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dilantik menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur baharu berkuat kuasa, semalam.

Perlantikan beliau bagi menggantikan Datuk Rusdi Mohd Isa yang bertukar jawatan ke Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Mazlan berkata, kepercayaan diberikan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Nik Ros Azhan bagi menggalas jawatan itu diharap dapat membantu Polis Kuala Lumpur ke arah merealisasikan bandar raya ini sebagai Bandaraya Selamat.

Beliau turut memaklumkan kadar jenayah indeks di ibu kota menurun sebanyak 8.6 peratus iaitu 11,172 kes berbanding nilai ambang ditetapkan 12,230 pada tahun lalu.

“Bagi peratusan kes selesai pada tahun lalu membabitkan 5,511 kes atau 49.3 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Kadar pertuduhan bagi tempoh sama pula merekodkan sebanyak 6,808 kes daripada 19,034 kes dibuka bersamaan 35.77 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 12:05pm
d