mutakhir

30 minit bersih tumpahan merkuri

Oleh Nazri Abu Bakar

ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh mengambil masa 30 minit membersihkan tumpahan cecair merkuri di klinik di Batu Berendam, Melaka, semalam.

Ketua BBP Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.10 pagi dan sampai ke lokasi kejadian 13 minit selepas itu.

Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan 11 pegawai dan anggota melakukan siasatan mendapati kejadian tumpahan merkuri berlaku di lantai klinik berkenaan.

“Ketika tiba termometer pecah serta merkuri masih berada di bilik berkenaan dalam keadaan tidak disentuh.

“Kami mengarahkan semua kakitangan mengosongkan ruangan berkenaan untuk kerja-kerja pembersihan dijalankan dengan lancar.

“Pasukan kami melakukan nyah cemar bahan berkenaan dalam masa 30 minit dan operasi tamat sepenuhnya pada 9.58 pagi,” katanya.

Mohd Hamdan berkata, anggotanya memasuki bilik dengan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) lengkap serta alat pernafasan dan menabur sulfur ke atas merkuri serta membiarkan seketika supaya kedua-dua bahan itu menyerap di antara satu sama lain.

Beliau berkata, tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu dan selepas semuanya selesai, bilik berkenaan dibenarkan untuk digunakan selepas satu jam operasi tamat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak bomba jika berlaku insiden tumpahan merkuri termometer kerana ia memerlukan kerja pembersihan spesifik.

“Ini kerana, wap merkuri bertoksik dan boleh meresap melalui liang roma dan menjadi racun dalam sistem tubuh badan manusia,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 1:35pm
d