mutakhir

Pencuri 107 kambing ditahan

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

LIMA lelaki yang didakwa terbabit dalam kejadian mencuri 107 kambing baka Damara dari sebuah kandang di Palong 21, Jempol, di Negeri Sembilan sudah berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata mangsa berusia 59 tahun menyedari kehilangan semua kambingnya apabila pergi ke kandang miliknya yang terletak di dalam ladang kelapa sawit pada jam 9 pagi, 8 Februari lalu.

Menurutnya, mangsa mendapati rantai pintu kandang dipotong dan dinding pula dipecahkan sebelum mendapati kesemua kambingnya hilang.

“Bertindak atas laporan dan maklumat awam, pada jam 7 pagi, 10 Februari lalu, polis membuat serbuan dan menangkap seorang lelaki berusia 29 tahun di Muar, Johor serta merampas sepuluh kambing.

“Polis kemudian membuat serbuan ke atas sebuah kandang di dalam ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka pada jam 4 petang hari yang sama dan berjaya menangkap empat lelaki berusia 20 hingga 26 tahun serta merampas 97 ekor kambing,”katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Jempol di sini, hari ini.

Mohd Khairiel berkata polis turut merampas pemotong (cutter), kuku kambing, tukul besi, dua lori, kereta, motosikal dan 107 ekor kambing yang dilaporkan hilang.

“Kumpulan penjenayah ini bergerak aktif menggunakan lori dan membuat tinjauan sebelum mencuri kambing pada tengah malam.

“Mereka akan membawa kambing ke lokasi terpencil sebelum menjualnya secara pukal kepada orang tengah dengan harga yang murah,” katanya.

Tambah beliau polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman hingga esok bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 2:13pm
d