mutakhir

Azab kerana cincin

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEORANG remaja lelaki menanggung sakit lebih 24 jam apabila jari telunjuk kanan membengkak selepas cincin dipakainya tidak dapat ditanggalkan.

Remaja 14 tahun itu dikatakan mula menderita apabila jari telunjuknya membengkak sejak semalam usaha menanggalkan cincin tidak berjaya.

Akibat tidak tahan sakit, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini itu mengadu kepada ibu saudaranya yang kemudiannya mendapatkan khidmat bomba.

Ketua Operasi Bomba Sukarela Kalabakan, Kadir Imran berkata, mangsa ditemani ibu saudaranya hadir di balai bomba kira-kira jam 11 pagi tadi untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, anggota bomba membantu memotong cincin pada jari mangsa menggunakan peralatan khas.

“Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memotong cincin berkenaan.

“Cincin berjaya ditanggalkan dan jari mangsa hanya mengalami luka kecil sebelum diberikan rawatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 2:54pm
d