mutakhir

Dana rakyat Malaysia untuk Masjid al-Aqsa diseleweng? [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

DANA bernilai jutaan ringgit yang disumbangkan rakyat Malaysia selama ini untuk Masjid al-Aqsa tidak pernah sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang mentadbir urus masjid berkenaan.

Difahamkan Malaysia antara negara aktif yang banyak menganjurkan kutipan dana Masjid al-Aqsa.

Perkara itu didedahkan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali yang berkata, pihaknya mengesan kepincangan itu sejak dua tahun lalu selepas menerima maklumat jabatan itu tidak memperoleh sebarang sumbangan yang sepatutnya disalurkan untuk pelbagai tujuan termasuk pembangunan dan pembebasan Masjid al-Aqsa.

“Kami difahamkan oleh jabatan itu, sumbangan dana rakyat Malaysia selama ini tidak pernah sampai kepada mereka.

“Perkara ini juga disahkan Imam Masjid al-Aqsa sendiri yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini mendedahkan mereka tidak pernah terima dana sumbangan rakyat Malaysia sejak sekian lama.

“Kita juga mempunyai bukti memang wujud penyelewengan ke atas dana Palestin dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang diketuai Pengerusi NSTP Tan Sri Ismail Omar di Balai Berita, hari ini.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit, Pengarang Kumpulan New Straits Times Ahmad Lokman Mansor dan Pengarang Eksekutif Kandungan & Digital Berita Harian M Thillinadan serta wakil Yayasan MyAqsa.

Susulan penemuan itu, beliau meminta rakyat Malaysia sentiasa berwaspada dengan penipuan aktiviti mengutip dana yang mempergunakan nama Masjid al-Aqsa.

“Saya rasa rakyat Malaysia yang selama ini menderma, tidak menyedari sumbangan mereka tidak pernah sampai kepada pengurusan Masjid al-Aqsa.

“Jadi kita berharap rakyat Malaysia perlu ambil tahu ke mana perginya sumbangan mereka itu,” katanya.

Katanya, sebarang sumbangan dana untuk Masjid al-Aqsa hanya melalui Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang ditadbir urus Kementerian Wakaf Jordan dan pihak berkuasa Palestin.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 3:03pm
d