mutakhir

MOA perkenal kawasan penyimpanan air [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KERAJAAN akan memperkenalkan beberapa inovasi untuk membantu pesawah termasuk menyediakan kawasan penyimpanan air bagi tujuan pengairan.

Setiausaha Bahagian Industri Ketua Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Azman Mahmood berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke 12.

Katanya, ia akan menjadi lonjakan kepada pesawah dan pemain industri yang sering menghadapi masalah apabila keadaan cuaca tidak menentu sehingga menjejaskan pendapatan.

“Bukan tanaman saja terjejas, benih padi yang dihasilkan untuk musim padi akan datang juga terjejas.

“Sebab itu MOA akan tampil dengan inovasi ini bagi membantu pesawah memperoleh hasil maksimum sekitar lapan tan metrik berbanding hanya sekitar tiga hingga empat tan,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai operasi pembenihan awan yang selesai dijalankan semalam, beliau berkata, inisiatif berkenaan berjaya mencapai matlamatnya apabila kuantiti air di Empangan Pedu, Ahning dan Muda yang membekalkan air di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), bertambah.

Katanya, pembenihan awan berjaya menyelamatkan 220,390 hektar sawah yang terjejas akibat kemarau selain memastikan 22,000 hektar dengan kos kerajaan RM133 juta yang sedang diusahakan dapat diteruskan.

“Inisiatif dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan negeri dijalankan ekoran keadaan yang semakin kritikal di kawasan itu nampaknya berjaya.

“Kita dimaklumkan jumlah air di empangan cukup untuk pengairan kerana hujan turun selepas empat hingga lima jam operasi dijalankan.

“Ia adalah langkah terakhir yang kita boleh ambil dan alhamdulillah berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 3:15pm
d