mutakhir

Gaul vaksin dalam makanan anjing

Oleh Mohd Roji Kawi

SARAWAK akan menggunakan kaedah umpan menggantikan prosedur suntikan vaksin bagi membendung penyebaran wabak rabies atau penyakit anjing gila.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, cadangan itu diperkenalkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizar ketika berkunjung ke negeri ini, baru-baru ini.

Beliau berkata, cadangan itu sesuatu yang baik dan menjimatkan masa.

“Perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan mengenai perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat, “katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN) berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembekalan Ikan Tilapia antara Borneo Eco dengan restoran makanan segera, Sugar Bun di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat ini usaha JPBN membendung wabak rabies menunjukkan perkembangan positif apabila tiada lagi gigitan anjing dan kes kematian baru dicatatkan selepas enam kes terakhir dilaporkan pada 2019.

“Sasaran kami adalah tiada lagi kematian akibat rabies pada tahun 2021 dan menjadikan Sarawak bebas rabies pada tahun 2025.

“Bagaimanapun, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan segera melaporkan kepada pihak berwajib jika mereka melihat anjing dengan mempunyai gejala rabies,” katanya.

Sejak pengisytiharan wabak rabies pada 1 Julai 2017 sehingga 6 Nov tahun lalu, 22 kes dilaporkan di negeri ini membabitkan 21 kematian.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 4:09pm
d