mutakhir

Unit Menyelamat di Gua pertama negara

Oleh BERNAMA

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menubuhkan Unit Menyelamat di Gua pertama dalam negara secara rasmi tahun ini bertujuan memantapkan sektor pelancongan negeri.

Pengarahnya Azmi Osman berkata, setakat ini 35 pegawai terbabit dalam unit itu yang ditubuhkan sejajar dengan usaha menjadikan gua sebagai kawasan tarikan pelancong yang selamat untuk dikunjungi.

“Kesemua pegawai ini dipilih berdasarkan penyertaan unit sama ada Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM); penyelam dan MUSTeam seluruh Perak yang dilatih dengan kursus berkaitan keselamatan di gua.

“Kita menubuhkan pasukan ini (bagi memastikan ada pasukan yang mantap dari segi kemahiran dan sebagainya) sekiranya berlaku insiden tidak diingini, apabila pengunjung membuat lawatan ke gua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Simulasi Menyelamat di Air ke Tapak Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 di Batu Gajah, hari ini.

Turut hadir EXCO Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Perak Tan Kar Hing dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak, Anuar Zainal Abidin.

Azmi berkata, pegawai berkenaan akan ditempatkan di beberapa Balai Bomba dan Penyelamat berdasarkan hasil kajian yang mendapati terdapat 30 gua di daerah Kinta.

“Aspek penilaian di gua yang kita terokai setakat ini secara dasarnya berada dalam keadaan baik dengan kita memfokuskan kepada pintu keluar dan kebanyakan gua di sini terdapat dua hingga tiga pintu.

“Jadi, sekiranya berlaku sebarang insiden tindakan bagi proses menyelamat dan menyelamatkan diri adalah di tahap yang baik,” katanya sambil menegaskan pihaknya memandang serius aspek keselamatan khususnya berkaitan pelancongan dan rekreasi di kawasan gua.

Katanya, JBPM Perak akan membuat lawatan berkala untuk memberi khidmat nasihat mengenai keselamatan diri kepada pengunjung di kawasan gua.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya sedang merancang langkah untuk meningkatkan tahap pengetahuan pengunjung yang meneroka kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 4:33pm
d