mutakhir

Kaunseling ibu bapa bayi meninggal

Oleh Asrol Awang

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang akan memberikan bantuan kaunseling kepada ahli keluarga, khususnya ibu bapa bayi perempuan berusia sembilan bulan yang meninggal dunia dalam kereta di Kuantan semalam.

Pengarah JKM Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya akan melawat rumah keluarga bayi berkenaan dan bertemu ibu bapa bayi berkenaan esok.

Menurutnya, pihaknya berbuat demikian kerana memberi tempoh bertenang kepada keluarga berkenaan memandangkan mereka baru kehilangan anak.

“Esok, kaunselor JKM Kuantan akan bertemu ibu bapa bayi itu bagi memberi kaunseling,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian itu, Annur Jannatul Syuhada Mohd Khalil ditemui mati di dalam kereta di Indera Mahkota dipercayai ditinggalkan dalam kenderaan berkenaan kira-kira empat jam.

Difahamkan, bayi berkenaan tertinggal dalam kenderaan itu disebabkan bapanya yang berusia 38 tahun terlupa menghantar anak bongsunya itu ke taska sebelum ke tempat kerja di Kompleks Tun Razak (Komtur) di Indera Mahkota.

Annur Jannatul hanya ditemui ketika bapanya ingin keluar makan tengah hari pada waktu rehat berkerja kira-kira 1 tengah hari.

Berita berkaitan

Bapa terlupa, bayi tertinggal dalam kereta

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 5:05pm
d