mutakhir

'Sistem solar hibrid tak sesuai digunakan di kawasan terpencil'

Oleh BERNAMA

BEKAS Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa sistem solar hibrid tidak sesuai digunakan di sekolah kawasan terpencil di Sarawak.

Madinah, 63, berkata, sehubungan itu, kaedah terbaik untuk membekalkan tenaga elektrik sekurang-kurangnya 12 jam kepada sekolah tersebut adalah dengan menggunakan genset diesel.

“Kementerian ada cadangkan teknologi solar untuk dapatkan faedah daripada matahari sebab negara kita panas dan ia dicadangkan untuk dilaksanakan di sekolah yang bukan terlalu dalam hutan.

“Ada sekolah terletak di kawasan terpencil yang ada pokok tinggi, maka solar mungkin tidak sesuai untuk sekolah demikian. Disebabkan itu kementerian tidak ada perancangan untuk laksanakan projek solar,” katanya pada pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pada perbicaraan kes rasuah isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan projek solar tersebut.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya di antara Januari 2016 dengan 7 September 2017.

Jelas Madinah lagi, sekolah di Sarawak dalam konteks nasional agak kekurangan jika dibandingkan dengan sekolah di Semenanjung berikutan lokasinya yang terletak di kawasan pedalaman dan tidak ada bekalan elektrik berterusan.

Menjawab soalan Akberdin bahawa sistem solar telah dilaksanakan di Sarawak sejak 2010, saksi pendakwaan keenam itu mengakuinya namun menyatakan bahawa ia tidak menyeluruh.

Akberdin: Berapa sekolah yang telah laksanakan sistem solar?

Madinah: Saya menjawat jawatan KSU pada 13 Jun 2013 jadi saya tidak ada info atau angka berapa sekolah yang dipasang (sistem) solar terutama pada 2010, yang saya tahu hanya beberapa sekolah sahaja.

Saksi itu bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa kementerian sepatutnya menolak cadangan Jepak Holdings untuk melaksanakan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion tersebut berikutan ia bercanggah dengan Pekeliling Perbendaharaan dan merupakan satu pembaziran duit rakyat.

Madinah yang bersara pada 2 September 2016 bagaimanapun berkata, ia adalah disebabkan ‘beliau tidak dapat menolak’ cadangan itu.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa beliau mempunyai kuasa untuk tidak mematuhi dua minit oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengarahkan projek solar hibrid tersebut diberi kepada Jepak Holdings.

Beliau berkata, meskipun ada garis panduan yang perlu dipatuhi dalam pelaksanaan projek secara rundingan terus, namun dalam keadaan tertentu Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk melangkaui garis panduan tersebut.

Najib merupakan Menteri Kewangan ketika itu.

Akberdin: Anda banyak mengadu pasal Jepak namun anda amat menyokong projek (solar hibrid) Jepak.

Madinah: Ketika itu saya telah terima arahan daripada menteri (bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid) untuk laksana arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib, saya angkat permohonan itu kepada Kementerian Kewangan sebab keputusan muktamad atau kelulusan projek ini terletak kepada Kementerian Kewangan dan bukannya Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 5:43pm
d