mutakhir

'Bapa ayam' ditahan bersama sembilan pelacur

Oleh BERNAMA

POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang juga ‘bapa ayam’ bersama sembilan pelacur termasuk seorang wanita tempatan dalam operasi di sebuah hotel di Jalan Siam, Georgetown, semalam.

Lelaki berumur 27 tahun itu gagal melarikan diri selepas hotel yang menjadi tempat menjalankan kegiatan tidak bermoral diserbu polis kira-kira 8 malam.

Turut ditahan lapan pelacur warga asing terdiri daripada seorang warga Vietnam, lima Thailand dan dua dari Indonesia serta seorang wanita tempatan berusia antara 23 hingga 35 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Samah berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat dan risikan dijalankan sejak dua minggu lalu, yang mendapati terdapat kegiatan tidak bermoral dijalankan di situ oleh sekumpulan wanita warga asing.

“Semasa serbuan itu, terdapat seorang lelaki tempatan yang turut berada di situ dan hasil siasatan mendapati dia adalah ‘bapa ayam’ yang menguruskan kesemua lapan pelacur warga asing dan seorang wanita tempatan berkenaan.

“Wanita tempatan berusia 35 tahun yang ditahan itu hidup mewah dan memiliki sebuah kereta berjenama mewah hasil kegiatan pelacuran sejak beberapa tahun lalu.

“Dia turut mengaku pemilik kereta mewah yang di parkir di depan hotel itu selepas dia meminta kebenaran untuk mengambil barang peribadinya yang disimpan di dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Turut dirampas wang tunai RM8,000 dipercayai hasil pelacuran dan beberapa barangan lain seperti kondom, pelincir serta resit.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 6:44pm
d