mutakhir

'Jenuh kami melambai' - Ibrahim

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

LIMA jam mencemaskan. Itu pengalaman dilalui empat pemancing apabila bot dinaiki mengalami kerosakan enjin dan hanyut sejauh lapan batu nautika di Perairan Kerian, Parit Buntar, hari ini.

Tekong bot, Ibrahim Mohamud, 65, berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, dia dan tiga rakan Wahai Anuar Hanafiah 56; Che Mohd Azhanizam Che Kop, 35 dan Romli Osman 64 sedang memancing di kedudukan 18 batu nautika dari Pantai Kuala Kurau.

Bagaimanapun, katanya, ketika ingin mengubah lokasi memancing, enjin bot rosak menyebabkannya hanyut ke tengah laut.

“Keadaan itu menyebabkan kami cemas kerana tidak tahu lokasi sebenar kami.

“Jenuh (puas) kami melambai lima bot yang melalui kawasan berkenaan, tetapi mereka tidak berhenti, mungkin tidak nampak kami kerana faktor cuaca buruk.

“Tiada apa yang mampu dilakukan selain berdoa kepada Allah supaya bantuan segera tiba,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Ibrahim berkata, kerisauan mereka berakhir apabila diselamatkan Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pengkalan Kuala Kurau pada 5.45 petang.

“Sepanjang 30 tahun menjadi pemandu bot, ini pengalaman pertama berdepan situasi seumpama ini, ketika kejadian saya hanya terbayangkan anak dan isteri di rumah.

“Terima kasih Jabatan Perikanan dan APMM yang bertindak cepat dan sanggup meredah cuaca buruk untuk menyelamatkan kami,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Pengkalan Jabatan Perikanan Kuala Kurau, Nazri Mohd Noh berkata, pihaknya yang menerima maklumat kejadian daripada nelayan tempatan pada 5 petang, sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamatkan.

Menurutnya, bot mangsa ditemui di kedudukan lapan batu nautika di Perairan Kuala Kurau.

“Ketika ditemui mereka lengkap memakai jaket keselamatan dan kelihatan cemas.

“Mangsa dan bot segera dibawa ke jeti pangkalan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 8:45pm
d