mutakhir

Burger buat keluarga jadi kenangan terakhir

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

“MALAM tadi (semalam) selepas selesai majlis ilmu di surau, arwah sempat belikan lima burger untuk keluarga yang ada di rumah.

“Tak sangka ia menjadi kenangan terakhir kami sekeluarga bersama arwah,” kata Wan Abdul Ajik Wan Bakar, 50, bapa kepada Wan Amirul Naim, 18, yang lemas di Lata Kolam, Jertih, petang hari ini.

Wan Abdul Ajik berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Wan Amirul Naim kira-kira 9 pagi sebelum anak ketiganya itu keluar berjumpa rakan sekolah lama.

Menurutnya, arwah ada meminta izinnya untuk berkelah bersama rakan di Lata Kolam dan dia sama sekali tidak menyangka ia akan berakhir dengan tragedi itu.

“Saya tidak menghalangnya ke sana (Lata Kolam). Bagaimanapun, kira-kira 4 petang, seorang daripada rakan anak menghubungi saya memaklumkan kejadian itu.

“Saya sangat terkilan dan sedih. Arwah anak yang baik, sebelum ini dia ada menghadiahkan saya sehelai baju kemeja dan sepasang kain untuk ibunya ketika menerima duit gaji pertamanya,” katanya ketika ditemui di unit forensik Hospital Besut, hari ini.

Wan Amirul Naim bersama 27 lagi rakan sekolahnya dari Machang, Kelantan ke kawasan hutan lipur di Lata Kolam itu untuk berkelah, sekitar 1.30 petang.

Menceritakan semula kejadian yang menimpa Wan Amirul Naim, rakannya Ku Aliff Irfan Ku Mat, 18, berkata, pada mulanya, arwah bersama beberapa rakan lain mandi di bahagian bawah berdekatan kolam air terjun di situ sebelum naik ke atas untuk bergambar, kira-kira 3 petang.

“Sebelum kejadian, arwah berada dalam air bersama beberapa rakan, ada juga berada di atas batu di sungai air terjun itu untuk bergambar kenangan.

“Selesai bergambar, rakan lain kembali ke tebing, tetapi arwah masih berada di dalam air sebelum ditarik arus deras sungai, kebetulan pula ketika kejadian hujan rintik,” katanya.

Seorang lagi rakan Wan Amirul Naim, Muhamad Amin Muhamed Bustaman, 18, berkata, arwah seorang yang peramah dan antara rakan yang paling teruja menyertai perkelahan itu yang dirancang mereka sejak tiga minggu lalu.

“Arwah mengambil cuti pulang ke kampung kerana bekerja sementara di Kuala Lumpur.

“Arwah ada memberitahu, ini mungkin kali terakhir mereka dapat berkumpul sebelum bertolak balik (ke Kuala Lumpur) esok (Rabu),” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 3.49 petang sebelum bergegas ke lokasi.

Katanya, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang membuat selaman di lokasi pencarian menemui mangsa di dasar kolam air terjun itu pada kedalaman kira-kira enam meter, pada 5.07 petang.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 11:28pm
d