mutakhir

Suami isteri suspek kes tetak

Oleh Amir Abd Hamid

SUAMI isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes lelaki maut ditetak dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat, 14 Februari lalu di Puchong Perdana.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, suspek masing-masing lelaki berusia 37 tahun dan isteri berumur 27 tahun itu ditahan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di Taman Puchong Perdana, 2.30 petang, kelmarin.

Katanya, suspek lelaki yang ditahan bekerja sebagai pemandu van pelancong dan anak kepada mangsa yang berusia 65 tahun itu.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya selepas hadir Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sepang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini.

Media melaporkan, Jumaat lalu seorang ahli perniagaan maut apabila dia dipercayai ditetak individu tidak dikenali di stesen LRT di Puchong Perdana, 1.40 petang ketika dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat

Mangsa maut di lokasi kejadian dipercayai akibat luka di belakang leher selepas ditetak.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 12:37pm
d