mutakhir

Ada 880 kilang haram di Batu Pahat

Oleh Adnan Ibrahim

SEBANYAK 880 kilang beroperasi secara haram dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) sejak 2019.

Daripada jumlah itu, 318 pemilik kilang, pemilik tanah dan premis sudah diberikan notis untuk menjalani proses pemutihan bagi mengelak tindakan selanjutnya.

Yang Dipertua MPBP Kamalludin Jamal berkata, antara lokasi tumpuan pembinaan kilang ini adalah di sekitar Minyak Beku, Parit Bilal dan Parit Besar yang terletak berhampiran Jalan Kluang.

“Antara kesalahan dilakukan adalah menjalankan operasi kilang di tanah berstatus pertanian, di kedai dan rumah kedai serta di kawasan perumahan.

“Ada juga yang beroperasi dalam zon industri namun ia tidak mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa,” katanya kepada media di bilik mesyuarat MPBP hari ini.

Kamalludin berkata, pihaknya sudah menyerahkan borang Kemudahan Pelan Kebenaran Merancang (KM) kepada 318 pemilik kilang, pemilik tanah dan premis berkenaan untuk merancang operasi kilang masing-masing.

Katanya, pada masa sama, pihaknya turut akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha kilang pada Ahad ini di Dewan Perniagaan Cina, Batu Pahat.

“Sebanyak 318 kilang berkenaan adalah yang terbabit dalam proses pemutihan MPBP ini. Pengusahanya diberikan tempoh sehingga 15 Mac ini untuk mengisytihar operasi kilang masing-masing.

“Baki 562 kilang yang turut beroperasi tanpa kebenaran ini akan melalui proses pemutihan dalam fasa kedua dan ketiga dijangka sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Menurut Kamalludin lagi, pihak yang ingkar berdepan tindakan undang-undang termasuk kilang diroboh atau disita.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 1:37pm
d