mutakhir

Suami, isteri, adik lelaki ditahan lalok

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

TIGA sekeluarga antara 14 individu ditahan dalam serbuan ke atas dua lokasi dipercayai dijadikan sarang penagihan dadah di Kuala Kangsar, semalam.

Dalam serbuan pada 2 petang, suami isteri berusia 27 dan 23 tahun dan adik lelaki kepada lelaki terbabit berusia 26 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Anggerik, Kuala Kangsar.

Selain itu, enam individu lain berusia 23 hingga 43 tahun turut ditahan di rumah teres satu tingkat terbabit dalam Ops Perdana oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Kangsar.

Ketua Pegawai AADK Kuala Kangsar, Naemah Baharuddin berkata, siasatan awal mendapati rumah itu dipercayai dijadikan tempat untuk melepaskan gian.

Menurutnya, ketika serbuan, mereka didapati berada dalam keadaan khayal di mana kunjungan penagih ke rumah itu dilakukan secara bergilir-gilir.

“Terdapat papan tanda di perkarangan rumah kononnya ia adalah pusat membaiki peralatan elektrik dipercayai bagi mengaburi jiran tetangga yang melihat rumah itu kerap dikunjungi.

“Ketika tangkapan, bayi perempuan pasangan itu berusia setahun lapan bulan turut berada dalam rumah.

“Selain adik lelaki si suami turut membawa bersama tiga anaknya yang masih kecil termasuk bayi lelaki berusia enam bulan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama AADK Perak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Naimah berkata, lima lelaki lain berusia 34 hingga 57 tahun dipercayai penagih turut ditahan di Dataran Amanjaya, Manong yang dijadikan port melepak, selain serbuan di sebuah rumah di Manong.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap kesemua individu terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

“Bagaimanapun, tiada dadah dijumpai ketika pemeriksaan dibuat di lokasi serbuan.

“Semakan juga mendapati sembilan daripada 14 penagih yang ditahan itu adalah penagih baharu,” katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 31 dan Seksyen 41(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 3:20pm
d