mutakhir

Tiada lagi lambakan tembikai [METROTV]

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

LAMBAKAN tembikai di seluruh negara tidak menjejaskan pengusaha tanaman itu di Marang, Terengganu.

Ia susulan mereka sudah memeterai Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memasarkan tanaman masing-masing.

Seorang pengusaha, Mohd Fakrul Azwan Sabri, 35, dari Kampung Pengkalan Berangan berkata, perjanjian itu memberi jaminan kepada petani untuk memasarkan tembikai, selain mengurangkan masalah lambakan buah di pasaran.

“Sekarang berlaku isu lambakan tembikai di seluruh negara menyebabkan harganya turun.

“Terkini, harga jualan di ladang sekitar 50 sen sekilogram berbanding harga tertinggi yang pernah saya jual iaitu RM2.10 sekilogram.

“Namun, menerusi perjanjian itu, FAMA membeli tembikai kami dengan harga 80 sen sekilogram berbanding modal 60 sen, kami masih memperoleh keuntungan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak dan FAMA di Kampung Serating, Marang, hari ini.

Turut hadir Pengarah FAMA Negeri, Fauzi Mohamed dan Pegawai Kontrak Pemasaran FAMA, Hazimin Sulong

Mohd Fakrul yang mengusahakan 40 hektar ladang tembikai yang diwarisi daripada datuknya berkata, dia berharap perjanjian ini dapat diteruskan setiap tahun seterusnya membantu petani tembikai di negeri ini.

“Melalui perjanjian ini, saya dan rakan petani lain tidak bimbang lagi dengan harga pasaran tembikai yang tidak menentu, ” katanya yang mengusahakan tanaman itu sejak berusia 18 tahun.

Sementara itu Fauzi berkata, seramai tujuh pengusaha ladang tembikai di Kampung Serating di sini, menandatangani perjanjian jual beli membabitkan pembelian antara 50 hingga 70 tan tembikai semusim.

“Perjanjian ini secara tidak langsung membantu petani memasarkan hasil dengan harga berpatutan.

“Walaupun harga pasaran menjunam sehingga kurang 50 sen sekilogram, FAMA tetap akan menawarkan harga pembelian 80 sen sekilogram kepada petani,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 4:01pm
d