mutakhir

Minta sedekah sambil acu pistol mainan

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

POLIS menahan kanak-kanak Palauh dan 14 lain susulan tular di media sosial kegiatan meminta sedekah di persimpangan lampu isyarat di Bandar Sri Perdana, Lahad Datu, pagi tadi.

Semua yang ditahan disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah termasuk kanak-kanak lelaki yang mengacukan pistol mainan ke arah pengguna jalan raya seperti dalam video tular.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum tangkapan dilakukan pihaknya menerima makluman gambar tular kanak-kanak lelaki memegang pistol mainan meminta sedekah di lokasi terbabit.

Menurutnya, sejurus itu sepasukan anggota dihantar ke lokasi bagi menjalankan siasatan dan mendapati empat wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan berada di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati semuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan ditahan.

“Semua yang ditahan berusia enam bulan hingga 31 tahun itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, gambar kanak-kanak lelaki yang mengacukan pistol ke mainan ke arah pengguna jalan raya di kawasan lampu isyarat dipercayai ketika meminta sedekah tular di Facebook, sejak pagi tadi.

Lokasi lampu isyarat berkenaan sudah dikenali sebagai kawasan warga Palauh meminta sedekah walaupun ia membahayakan keselamatan mereka.

Polis sudah berulang-kali menjalankan tangkapan ke atas individu menjalankan kegiatan meminta sedekah di jalan raya itu, namun kumpulan berkenaan wujud sehingga hari ini.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 4:52pm
d