mutakhir

Kecewa hasil tanaman 'dituai' binatang liar

Oleh Hassan Omar

PENDUDUK Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, Alor Gajah, kecewa apabila keringat dicurahkan untuk menanam pelbagai tanaman di kawasan keliling rumah, tidak berbayar dengan hasil diharapkan apabila ia kerap dirosakkan babi hutan dan monyet.

Kawasan di keliling rumah ditanam dengan durian belanda, kelapa matag, cili padi, ubi kayu, sayur-sayuran dan seumpamanya, namun binatang terbabit lebih pantas ‘mengutip hasil’ tanaman.

Warga emas, Baharuddin Md Yusof, 68, berkata, selepas bersara daripada agensi kerajaan, dia membina rumah di kampung itu sebagai rumah kedua selepas rumah pertama di Tengkera, bandar raya Melaka.

Menurutnya, usaha itu bagi membolehkannya memajukan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar di sekeliling rumah itu dengan pelbagai jenis tanaman.

“Saya menanam kelapa matag, ubi kayu, durian belanda, cili padi dan limau kasturi, tetapi hasil tanaman itu tidak dapat dinikmati kerana dirosakkan babi hutan dan monyet.

“Saya mengeluarkan kos agak tinggi untuk memagar keliling kebun, tetapi kerbau pendek (babi hutan) mampu mengangkat pagar dengan taringnya yang kuat dan begitu juga dengan cik nyet (monyet) yang datang bukan seekor atau dua ekor untuk merosakkan tanaman,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Sehubungan itu beliau merayu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membantu mengatasi masalah berkenaan dengan memasang perangkap monyet dan menembak babi.

Umi Nadia Suboh, 37, berkata beliau dan ibunya, Fatimah Abdullah, 65, terpaksa mengupah penduduk kampung membersihkan kawasan sekeliling kediaman mereka di kampung itu bagi memastikan babi tidak bersembunyi dalam semak dan membahayakan keselamatan mereka sekeluarga.

“Kami ada 10 pokok durian di keliling rumah tetapi amat jarang kami dapat memakannya kerana babi bijak mengopek kulit durian untuk membuatkan kami terkulat-kulat menelan air liur,” katanya.

Beliau merayu EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dikenali sebagai pemimpin yang giat bekerjasama dengan PERHILITAN dalam usaha menembak babi supaya membantu menghapuskan haiwan liar itu di kampung berkenaan.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 5:32pm
d