mutakhir

Macam mana nak bersanding Sabtu ni?

Oleh Omar Ahmad

SEORANG perunding perkahwinan bingung memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas stor menyimpan barangan perkahwinan miliknya musnah terbakar, seterusnya meranapkan impian empat pasangan untuk mengenakan busana pengantin Sabtu ini.

Kebakaran berlaku jam 10.30 pagi membabitkan dua rumah di Jalan Budiman, Kampung Melayu Majidee di sini.

Juru solek, Mohd Khairul Anuar Ismail, 32, berkata, perniagaan berkenaan diusahakan bersama keluarganya lebih 10 tahun lalu.

“Sabtu ini, saya terima empat tempahan untuk majlis perkahwinan empat pasangan pengantin sekitar bandar raya ini.

“Masing-masing sudah memilih busana idaman untuk dipakai pada hari bahagia. Saya buntu memikirkan bagaimana hendak menguruskan tempahan ini termasuk pelamin yang dijanjikan,” katanya.

Menurut Mohd Khairul, apabila kebakaran dipadam, banyak kelengkapan perkahwinan rosak dan dia menganggarkan kerugian dialami mencecah RM200,000.

“Bukan saja busana malah kelengkapan yang musnah turut membabitkan aksesori pelamin seperti koleksi bunga, pasu serta kerusi pengantin.

“Saya reda dengan kejadian. Walaupun tiada kekuatan untuk memberitahu pelanggan, saya akan berusaha untuk menjayakan majlis perkahwinan mereka,” katanya.

Menurut Mohd Khairul, dia dan keluarga akan berusaha untuk memenuhi tempahan dibuat pelanggan.

“Pelanggan juga pasti kesuntukan masa jika hendak mencari perunding perkahwinan lain ketika ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Amir Asyraf Mazlan, 32, berkata, ketika kejadian, dia baru terbangun daripada tidur.

“Saya lihat asap tebal dan sangka ada orang bakar sampah. Sebaik keluar rumah, api terus marak.

“Saya kejutkan kawan sebelum kami keluar rumah. Kami tidak sempat menyelamatkan barangan seperti telefon bimbit, pakaian selain komputer riba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba 1 Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 11.06 pagi.

“Empat jentera dengan kekuatan 27 anggota dikerah ke lokasi.

“Seramai 12 penghuni dua rumah itu dapat menyelamatkan diri. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 8:48pm
d