mutakhir

587 Pati Filipina dihantar pulang

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SERAMAI 587 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal hari ini.

Program pengusiran dan penghantaran pulang Pati siri ke-11 itu diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi kerajaan lain.

Pengarah MKN Sabah, Sh Siti Saleha Habib Yussof berkata, semua Pati berkenaan diusir melalui jalan laut menggunakan perkhidmatan feri penumpang dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina.

Beliau berkata, sehingga Februari tahun ini, seramai 2,915 Pati dihantar pulang ke negara asal menjadikan jumlah pengusiran sejak 1990 berjumlah 594,172 orang termasuk melalui udara.

“MKN komited dalam melaksanakan pengusiran dan menghantar pulang Pati demi menunaikan amanah dan kepercayaan rakyat yang tidak mahu melihat negara dan negeri ini dibanjiri dengan kehadiran warga asing tanpa izin,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai tidak hanya meletakkan tanggungjawab membanteras kehadiran Pati kepada pihak kerajaan, sebaliknya membantu dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit memberikan komitmen tinggi dalam membantu menjayakan proses pengusiran itu.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 9:00pm
d