mutakhir

Jangan ulas jika tiada bukti - Hishammuddin

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“MENGULAS perkara yang tidak sah akan menjejaskan siasatan dilakukan dan tidak adil kepada keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370,” kata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Australia Tony Abbot yang mengatakan pemimpin kanan kerajaan Malaysia memaklumkan kerajaan Australia ketika itu kehilangan pesawat MH370 disebabkan tindakan bunuh diri oleh juruterbang.

Hishammuddin yang ketika tragedi itu berlaku pada 2014 memangku jawatan Menteri Pengangkutan berkata, tindakan berkenaan tidak bertanggungjawab dan sensitif.

“Sepanjang siasatan maklumat dan petunjuk baru muncul secara berterusan, saya secara konsisten berpendapat semua maklumat perlu disahkan dengan betul dan bukti sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Malah, saya juga berkongsi maklumat siasatan ketika taklimat dan sidang media harian saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, sehingga tamat tempoh sebagai pemangku Menteri Pengangkutan, pasukan siasatan tidak melaporkan kepadanya sebarang jawapan yang konklusif mengenai punca sebenar pesawat itu hilang.

Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat mengenai tragedi itu tampil membantu siasatan dengan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 9:11pm
d