mutakhir

Terhidu gas ammonia punca nelayan maut

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

KEBOCORAN gas disyaki ammonia di jeti nelayan Jalan Bagan 4, Sungai Besar, hari ini, dipercayai punca dua nelayan warga asing maut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5 petang.

“Seramai 35 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dan dua Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam serta Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan kejadian membabitkan pekerja bot nelayan seramai empat orang. Dua mangsa dihantar ke hospital manakala dua lagi disahkan meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan bagi memastikan ruang dalam dan luar bot bebas daripada pencemaran yang boleh mengancam nyawa.

“Anggota berjaya menutup injap saluran berkaitan dalam bot terbabit,” katanya.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada 9.40 malam.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua nelayan warga asing maut, manakala dua lagi dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas yang tidak dikenal pasti dalam sebuah bot pukat tunda.

Difahamkan, mangsa dipercayai warga Indonesia dan dua yang maut dikenali sebagai Erinda Panjaitan, 20 dan Sapriyal, 30-an.

Manakala dua lagi mangsa yang dikejarkan ke hospital dikenali sebagai Anuar Butet, 50-an dan Herry, 23.

Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Berita berkaitan

Dua maut terhidu gas misteri

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 10:57pm
d