mutakhir

Pemimpin perlu tunjuk kebolehan tinggi

Oleh BERNAMA

SESEORANG pemimpin perlu menunjukkan kebolehan yang tinggi dalam kepimpinan supaya kewibawaannya sebagai pemimpin tidak mudah dicabar, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata adalah penting untuk seorang pemimpin mempunyai nilai kepimpinan tinggi termasuk berani berdepan cabaran.

“Kalau pemimpin dapat tunjuk jalan, cara yang betul, maka gerak kumpulan lebih berjaya. Ini kita lihat dalam tentera umpamanya, tentera tak berjaya kalau tiada pemimpin yang lebih berwibawa, cekap, pintar daripada pengikutnya.

“Jika pemimpin cekap dan pintar, maka pengikut juga akan dapat hasil daripada kepintaran pemimpin itu,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada program Malaysia Future Leaders School (MFLS) TIER 3 di Kuala Lumpur, malam ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dr Mahathir berkata, pemimpin juga tidak boleh memikirkan kepentingan sendiri melebihi kepentingan pengikutnya.

Tegasnya, pemimpin yang sentiasa memikirkan masalah pengikutnya akan kekal menjadi pemimpin yang disenangi.

“Kuasa yang diberi perlu digunakan untuk kepentingan kumpulan, bukan kepentingan diri.

“Kalau pemimpin selalu fikirkan masalah pengikut, berfikir corak kejayaan untuk pengikut, pengikut akan jadi puak yang berjaya. Ini yang diutamakan (bagi) yang ingin jadi pemimpin,” katanya.

Dr Mahathir juga mengingatkan, selain perlu selalu mengejar ilmu, pemimpin juga perlu mempunyai nilai hidup yang murni.

Beliau berkata, pemimpin yang mengamalkan sifat keji tidak akan disenangi pengikutnya, sekali gus tidak akan kekal menjadi pemimpin.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 11:51pm
d