mutakhir

'Saya minum sikit saja'

Oleh Hamzah Osman

“SAYA minum sikit saja”. Itu antara alasan seorang lelaki berusia 45 tahun ketika ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Kelibang di Langkawi, semalam.

Ketika ditahan pada 12.01 tengah malam itu, lelakki itu yang juga tukang masak sebuah restoran didapati mengambil alkohol melebihi tahap dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki itu ditahan selepas gagal ujian saringan awal pernafasan menggunakan alat ‘Screening Device II’ (SDII) di lokasi.

“Dia kemudiannya dibawa ke Balai Trafik Langkawi dan pemeriksaan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) mendapati bacaan adalah 215mg/100ml.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pada operasi sama, pihaknya turut menahan seorang pengurus motel berusia 36 tahun selepas gagal dalam ujian pernafasan.

“Ujian EBA pada lelaki itu mendapati kandungan alkohol dalam darah 127mg/100ml dan turut ditahan untuk siasatan lanjut bawah akta sama,” katanya.

Beliau berkata, operasi ini akan diteruskan bagi membanteras gejala negatif dan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 9:07am
d