mutakhir

Duit lesap sebab pil tidur...

Oleh Shahrinnahar Latib

SEORANG lelaki di Kuantan berputih mata apabila wang simpanan RM196,000 lesap selepas ditipu sindiket penipuan dalam talian atau Macau Scam.

Mangsa berusia 58 tahun diperdaya melalui panggilan telefon yang mendakwa namanya disalah guna untuk mengambil pil tidur di Hospital Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 14 Disember tahun lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki berhubung perkara itu.

“Mangsa menafikan perkara itu, sebelum talian itu disambungkan kepada ‘Inspektor Gan’. Mangsa dimaklumkan kad mesin ATM miliknya digunakan untuk tujuan dadah.

“Mangsa kemudian diminta menyerahkan gambar kad ATM miliknya untuk tujuan semakan lanjut.

“Mangsa juga diminta untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, bermula 7 Disember hingga 13 Januari lalu, mangsa memasukkan wang ke 12 akaun berbeza melalui 21 transaksi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM196,000.

“Mangsa masih lagi diminta membuat bayaran lagi sebanyak RM50,000, namun dia memaklumkan sudah kehabisan wang. Mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,” katanya.

Mohd Yusof, pihaknya sudah mengenal pasti identiti pemilik 12 akaun bank berkenaan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 9:58am
d