mutakhir

Inovasi penapis air bawa tuah

Oleh Mohd Rafi Mamat

INOVASI penapis air minuman dihasilkan penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggunakan habuk kayu jenis resak (Vatica abdulrahmaniana) adalah produk pertama dihasilkan di negara ini.

Menurut Amirah Salihah El-Arish, 23 dia mengambil masa selama setahun melakukan penyelidikan bersama dua rakan, Chi Qi Teong, 23, dan Mahadi Bahari, 23, dibantu pensyarah,Herma Dina Setiabudi bagi menghasilkan produk terbabit.

Katanya, penapis air berbentuk pelet yang melalui dua proses menghasilkanya itu mampu menapis hingga 96 peratus plumbum yang terdapat dalam air minuman.

“Kos menghasilkan penapis air berkenaan jauh lebih murah berbanding produk sama yang banyak terdapat di pasaran malah harganya dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi.

“Untuk menggunakan penapis air berkenaan bekas atau tabung khas digunakan yang disambungkan dengan sistem paip di rumah,” katanya di Kuantan, semalam.

Produk penapis air menggunakan habuk kayu resak itu meraih anugerah terbaik kategori pelajar pada Pertandingan Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2020 di UMP Gambang, di Kuantan, minggu lalu.

Amirah Salihah berkata, kebanyakan penapis air pelbagai jenama yang ada dipasaran kini hanya mampu menapis hingga 93 peratus plumbum sahaja yang dianggap masih tidak baik untuk kesihatan.

Dia yang belajar di tahun akhir Fakulti Kolej Kejuruteraan berkata, kelebihan lain terdapat pada produk berkenaan ialah boleh digunakan antara dua minggu hingga sebulan di rumah bergantung kepada kualiti semasa air paip.

Katanya, dalam sektor perkilangan ia boleh digunakan sebanyak lima kali tapisan sisa buangan dan kajian akan dilakukan bagi membolehkan lebih banyak kali digunakan.

“Saya berharap penapis air minuman menggunakan habuk kayu resak dapat berada di pasaran tempat suatu hari nanti dan dijual pada harga mampu milik oleh semua lapisan masyarakat.

“Kerjasama dengan syarikat yang berminat menghasilkanproduk itu secaradikomersialkan diperlukan,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 1:50pm
d