mutakhir

Nelayan dikhuatiri hilang

Oleh Nurul Amanina Suhaini

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas seorang nelayan dilaporkan hilang di Perairan Rengit dekat sini, semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, Ramli Rashid, 38, dipercayai keluar ke laut pagi semalam dengan menggunakan sebuah bot fiber.

Katanya, APMM menerusi Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC Johor Bahru) mengaktifkan operasi SAR kira-kira jam 11.30 malam tadi.

“Maritim menerima aduan daripada keluarga lelaki itu sepatutnya pulang dari menangkap ikan tengah hari atau selewatnya petang semalam.

“Difahamkan juga mangsa kebiasaannya keluar menangkap ikan di Perairan Rengit, dekat sini.

“Selain itu, dimaklumkan ada rakan nelayan melaporkan melihat mangsa sedang menangkap ikan di Perairan Rengit kira-kira jam 6 petang semalam, namun pencarian oleh adik dan rakan-rakan nelayan mangsa kira-kira 7 petang semalam gagal menemukannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Bot Rengit, bagi menyelaras usaha mencari mangsa.

“SAR yang dikoordinasi APMM membabitkan sebuah kapal dan empat bot daripada pelbagai agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan turut dibantu oleh komuniti maritim serta nelayan setempat.

“Keluasan sektor pencarian adalah 50 batu nautika persegi meliputi kawasan dari Senggarang ke Tampok, Batu Pahat.

“Maritim Malaysia menasihatkan kepada orang ramai dan komuniti maritim supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca,” katanya.

Sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam MRSC Johor Bahru (07-221 9231) atau talian kecemasan MERS 999 supaya tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 2:01pm
d