mutakhir

Bilal stabil, suspek direman tujuh hari

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BILAL Masjid Al Hasanah Taman Rakyat Mergong yang melecur selepas dibakar di hadapan masjid itu semalam, dilapor stabil.

Anak bilal itu, Shahrizal Amri, 40, berkata, bapanya, Amri Budin, 67, masih dirawat di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

“Kami terpaksa mengehadkan pelawat yang mahu menziarahi ayah buat masa ini kerana ayah masih dalam pemantauan dan hanya ahli keluarga terdekat sahaja dibenar melawat,” katanya ketika ditemui di HSB, hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga lega apabila suspek yang membakar Amri ditahan polis dalam tempoh singkat.

“Kami serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dan ambil tindakan,” katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.

Dalam pada itu, dia kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai anak bapanya dan menyebar maklumat tidak tepat kononnya Amri disimbah petrol oleh ‘mat motor’ hingga tular di media sosial.

Shahrizal bimbang perkara itu mengganggu siasatan dan memberi implikasi buruk kepada mereka sekeluarga terutama bapanya.

“Dalam keadaan kami sedang bersedih, masih ada pihak yang sanggup melakukan begini.

“Kami sekeluarga tidak kenal individu yang menular kisah ayah di laman sosial dan bimbang jika ada mahu mengambil kesempatan,” katanya yang berharap orang ramai berhenti menularkan kisah tidak benar mengenai bapanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi berkata, suspek berusia 40-an ditahan reman tujuh hari mulai hari ini sehingga 26 Februari.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • 'Apa motif bakar bilal'
  • Simbah minyak, bakar bilal
  • Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 3:09pm
    d