mutakhir

Lelaki mental bakar kereta

Oleh Khalid Latip

SEORANG lelaki warga Indonesia yang dipercayai mengalami masalah mental bertindak di luar kawalan apabila membakar kereta yang dinaikinya bersama rakan berhampiran Jambatan Nyelong di Sarikei, hari ini.

Kejadian mencemaskan yang berlaku kira-kira 9.20 pagi itu menyebabkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Kijang yang berkenaan musnah terbakar.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditemani rakannya dipercayai dari Sibu dalam perjalanan untuk balik ke Indonesia.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, lelaki itu tiba-tiba mengambil mancis dan membakar kenderaan berkenaan.

“Lelaki itu dan rakannya yang berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat keluar dari kenderaan,” katanya.

Awang Arfian berkata, polis sudah mengambil keterangan kedua-dua lelaki itu dan merujuk kes terbabit kepada Hospital Sarikei sebagai tindakan susulan.

“Hasil soal siasat, rakan lelaki itu ingin menghantarnya pulang Indonesia. Kedua-duanya berasal dari Sambas, Kalimantan Barat.

“Polis juga masih menunggu ahli keluarga untuk mengambil lelaki itu di Balai Polis Sarikei. Kenderaan yang dibakar oleh lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran dari Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, seramai 11 anggota dari Balai Sarikei bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada orang awam.

Katanya, ketika pasukan bomba tiba di lokasi, api didapati marak membakar di bahagian dalam kenderaan terbabit.

“Usaha memadam kebakaran berjaya dilakukan dalam tempoh 25 minit,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 3:26pm
d