mutakhir

Didenda RM16,000 sembunyi wang RM15,000

Oleh Amran Yahya

SEORANG lelaki didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membantu menyembunyikan wang berjumlah RM15,000 pada November tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Shairazi Abu Bakar, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa pada 10.30 pagi 6 November 2019 menyembunyikan wang RM8,000 yang dimasukkan seorang wanita dalam akaun bank didaftarkan atas nama tertuduh.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 3.08 petang hari sama menyembunyikan wang RM7,000 yang dimasukkan wanita sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan boleh dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 3:30pm
d