mutakhir

Warga emas sakit tiada MyKad

Oleh Mohd Amin Jalil

“SAYA diberitahu, dia pernah memohon kad pengenalan (MyKad) ketika menetap di estet di Kuala Lipis, Pahang, sebelum ini, tetapi tidak diketahui kedudukan permohonan itu menyebabkan sehingga sekarang dia tidak mempunyai MyKad,” kata Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Dahlia, Seremban 2, Seremban, Anuar Bashah Mohammed Kassim.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai A Ramayee, 64, yang kini menyewa di Apartmen Dahlia, masih tidak memiliki MyKad, sekali gus menyukarkannya untuk melakukan pelbagai urusan urusan termasuk mendapatkan rawatan di hospital.

Anuar Bashah berkata, Ramayee datang mengadu padanya mengenai latar belakang hidup dan keluarganya, awal tahun ini.

Menurutnya, dia dikatakan dilahirkan dalam kelompok masyarakat di estet yang majoriti kaum India dan mungkin disebabkan persekitaran di situ, dia tidak dapat berurusan dengan baik untuk mendapatkan MyKad.

wanita warga emas itu sudah menetap di apartmen itu sejak lebih 10 tahun lalu.

“Saya difahamkan Ramayee mempunyai lima anak, tetapi mereka sudah mempunyai keluarga sendiri dan tidak mahu menjaganya, menyebabkan warga emas itu tinggal sendirian.

“Dia kini menghadapi masalah penyakit buah pinggang dan sukar untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana tidak mempunyai sijil kewarganegaraan sah.

“Keadaan itu menyebabkan dia rasa tertekan kerana kos rawatan di klinik swasta tinggi selain perlu membayar sewa rumah.

“Berikutan situasi itu, saya memanjangkan masalah Ramayee kepada wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri, Nicole Tan Lee Koon, baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas program Ziarah Kasih Peduli Rakyat (ZKPR) di Apartmen Dahlia Seremban 2, Seremban, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada Ramayee.

Turut menerima sumbangan barangan berkenaan ialah empat keluarga lain kalangan warga emas, ibu tunggal dan terlantar sakit.

Nicole turut melahirkan rasa sedih dengan nasib menimpa Ramayee dan berjanji akan membantu warga emas itu dalam urusan berkaitan supaya memiliki MyKad.

“Saya akan membantu dia mendapatkan Mykad dan kita akan cuba merujuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agar urusan mendapatkan status kewarganegaraan bagi wanita ini tercapai,” katanya.

Dalam pada itu, Nicole berkata, program ZKPR adalah program turun padang dikendalikan pusat khidmatnya untuk memastikan golongan kurang bernasib baik dapat dikenal pasti dan diberikan bantuan sewajarnya.

Beliau berkata, program itu membolehkannya bertemu rakyat dan memastikan tiada kalangan mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan, tercicir daripada perhatian kerajaan negeri.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 4:28pm
d