mutakhir

'Tak tahu ada pra-mesyuarat' - Saifuddin

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

SETIAUSAHA Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak mengetahui mengenai dakwaan akan berlangsungnya satu pra-mesyuarat sebelum mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana malam esok.

Beliau berkata, pada pengetahuannya hanya satu mesyuarat yang dikenali sebagai Majlis Sekretariat akan berlangsung tiga jam sebelum Majlis Presiden PH diadakan.

“Pra-mesyuarat tidak ada, cuma semalam kami adakan Majlis Sekretariat. Dalam pertemuan itu kami bersetuju untuk mendahului mesyuarat 21 Februari (Majlis Presiden PH) yang diadakan pada 8.30 malam, Majlis Sekretariat pula akan diadakan tiga jam sebelum itu.

“Tujuannya (Majlis Sekretariat) adalah supaya kami boleh sampaikan segala arahan dan tekankan kepada semua untuk kembali pada asas iaitu dari segi menguasai lapangan serta program penyampaian maklumat yang terus kepada rakyat.

“Sebelum PH menjadi kerajaan, antara kekuatan kami adalah kami cepat menguasai lapangan dan menerangkan kepada rakyat mengenai sesuatu perkara.

“Jadi kami fikir selepas menjadi kerajaan lebih 20 bulan, aspek ini perlu diberi penekanan yang lebih kemas dan tersusun dengan meminta pimpinan PH di setiap negeri memulakan gerak kerja berkenaan,” katanya kepada media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada pegawai di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Putrajaya hari ini.

Saifuddin berkata, Majlis Sekretariat berkenaan akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah dan disertai oleh semua Setiausaha Agung parti komponen PH.

Sebelum ini, media melaporkan ada dakwaan enam pemimpin kanan PH akan mengadakan satu pra-mesyuarat sebelum berlangsungnya Majlis Presiden PH bagi membincangkan mengenai isu peralihan kuasa serta isu lain yang berkaitan.

Antara enam pemimpin yang disebut akan menyertai pra-mesyuarat berkenaan ialah Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Amanah (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, mengenai desakan beberapa Ketua Pemuda PKR yang mahu satu tarikh khusus bagi peralihan kuasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim, Saifuddin berkata, sebarang pendirian daripada PKR seharusnya dibincangkan di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Kita tidak boleh ambil satu pandangan sahaja kerana ia tidak adil kepada Keadilan (PKR). Kalau lihat pada pandangan satu atau dua daripada mereka, ia seolah-olah adalah gambaran sebenar apa yang sedang berlaku.

“Contohnya, seorang ini mengeluarkan satu kenyataan tetapi tajuk berita menampakkan ia mewakili keseluruhan ahli, ia sangat tak adil untuk parti. Sebab itu saya sangat hati-hati dalam memberikan komen.

“Komen saya hanya mengikut tertib, sesuatu keputusan politik itu dibuat mestilah bersandarkan kepada kuasa pembuat keputusan parti,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 5:15pm
d