mutakhir

94 kupu-kupu malam dicekup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MENANGIS minta simpati. Itu helah digunakan seorang wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam di Jalan Solaris, di Kuala Lumpur, dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Wanita berkenaan antara 94 GRO warga asing yang ditahan dalam serbuan oleh 62 pegawai dan anggota JIM di dua kelab malam di Jalan Solaris, bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi.

Dalam serbuan berasingan, JIM turut menyerbu rumah kongsi di Jalan Residen Utama, Desa Park City, di Kuala Lumpur, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) seramai 344 individu.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, pihaknya memeriksa 410 warga asing dalam tiga serbuan Operasi Gegar dan Operasi Kutip.

Menurutnya, 94 GRO yang ditahan dengan kebanyakannya berasal dari Thailand berusia antara 20 hingga 35 tahun dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Dalam serbuan di kelab malam, kami dapati ‘kupu-kupu malam’ atau GRO yang bertugas akan pergi setiap meja pelanggan bagi mendapatkan tips antara RM50 hingga RM300. Bagi pelanggan yang mahu membawa balik GRO, mereka dikenakan bayaran RM1,000 untuk satu malam.

“Ketika serbuan dilakukan, ada antara GRO yang panik melarikan diri menggunakan jalan belakang, namun cubaan itu gagal memandangkan kawasan berkenaan sudah dikepung. Ada GRO yang menangis apabila ditahan kerana mahu menagih simpati.

“Dalam serbuan di kelab malam itu, kami turut menahan pengurus dan tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana menghalang kami melakukan tugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamidi berkata, serbuan ketiga membabitkan penempatan haram di Jalan Residen Utama, Desa Park City yang menceroboh kawasan tanah milik syarikat konsesi lebuh raya dengan membina rumah dan kedai makan.

“PATI yang ditahan dalam serbuan ini bekerja sebagai buruh binaan di kawasan sekitar. Malah, mereka disyaki merosakkan harta dan pagar milik syarikat konsesi lebuh raya berkenaan.

“Laporan hasil serbuan ini akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan roboh,” katanya.

Katanya, hasil ketiga-tiga serbuan itu, pihaknya menahan 344 warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an yang didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan, Vietnam, Indonesia, Thailand, Korea dan Kazakhstan.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah gagal mengemukakan dokumen perjalanan, tinggal lebih masa dan memiliki pas atau permit palsu. Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) akta sama selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 5:36pm
d