mutakhir

Ganti Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Oleh Norzamira Che Noh

MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kira-kira 40 peratus Hutan Simpan Kuala Langat Utara sudah rosak disebabkan kebakaran dan pencerobohan serta tidak lagi mempunyai elemen hutan lama atau hutan dara.

Menurutnya, kerajaan negeri berpendapat bahawa kawasan itu sesuai dibangunkan seiring dengan pembangunan sekeliling selain turut terbabit dalam jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Jika kita melakukan pemansuhan status Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara, kita akan ganti dengan hutan simpan baru malah kerajaan negeri bercadang untuk menggantikannya dengan kawasan yang lebih luas.

“Kawasan hutan yang akan dimansuhkan pewartaan itu adalah seluas 930.77 hektar dan kita bercadang untuk ganti dengan hutan yang bersesuaian seluas 1,092.65 hektar.

“Selain lebih luas, kita juga akan mengekalkan jenis hutan dan ekosistem yang hampir sama seperti hutan simpan berkenaan iaitu jenis hutan paya gambut,” katanya ketika sidang media di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah menyenaraikan empat kawasan cadangan sebagai gantian terus bagi mengekalkan status 30 peratus kawasan hutan simpan sedia ada.

Katanya, empat kawasan hutan yang sedang diwartakan adalah dua di Sungai Panjang daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Ampang Pecah.

“Hutan simpan baru itu juga akan bercantum dengan Hutan Simpan Raja Muda Musa iaitu kawasan hutan paya gambut terbesar di Semenanjung Malaysia.

“Penggabungan ini menjadikan kita (Selangor) sebagai negeri yang mempunyai hutan paya gambut terbesar di Semenanjung dan kedua atau ketiga terbesar di Malaysia selepas Sabah dan Sarawak,” katanya.

Amirudin berkata, isu mengenai perkampungan Orang Asli pula tidak seharusnya dibangkitkan kerana kerajaan negeri sudah mengeluarkan perkampungan berkenaan daripada rancangan pemansuhan HSK itu.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan 404.68 hektar kawasan hutan itu yang menjadi perkampungan Orang Asli manakala mengenai tanah perkuburan suku Temuan pula, pihaknya akan mengkaji semula kawasan berkenaan dan akan mengeluarkan jika boleh.

Sementara itu, Amirudin berkata, proses pemansuhan warta itu kini di peringkat pendengaran awam iaitu proses kedua daripada lapan proses secara keseluruhan dan ia (pendengaran awam) akan berakhir pada 5 Mac depan.

Katanya, proses bantahan yang berlangsung selama sebulan itu sepatutnya diajukan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan bukan menimbulkan polemik di peringkat media sosial saja.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 5:52pm
d