mutakhir

TNB tuntut pampasan rosakkan kabel

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

TENAGA Nasional Berhad (TNB) akan menuntut pampasan daripada pihak ketiga yang menyebabkan kerosakan kabel TNB dan berlaku gangguan bekalan elektrik, semalam.

Pengurus Besar (Operasi dan Penyelenggaraan) Rangkaian Pengedaran TNB, Yusof Ibrahim berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secara terperinci sebelum tuntutan dibuat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kontraktor sebuah syarikat telekomunikasi menjalankan kerja pengorekan di laluan kabel TNB di Taman Berjaya di Kajang sehingga menyebabkan kerosakan pada kabel milik TNB.

“Kerosakan kabel itu dikesan apabila berlakunya gangguan bekalan elektrik membabitkan perkhidmatan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang jam 12.09 tengah hari semalam.

“Kakitangan TNB dihantar ke lokasi dan siasatan mendapati gangguan berpunca daripada kerosakan kabel antara pencawang masuk utama (PMU) Kajang serta stesen suis utama (SSU) MRT Kajang akibat kerja pengorekan pihak ketiga iaitu kontraktor yang dilantik oleh sebuah syarikat telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian, hari ini.

Menurut Yusof, pihaknya sedang melaksanakan kerja membaiki kabel yang rosak membabitkan dua laluan sepanjang 150 meter dan 100 meter di lokasi berkenaan.

Katanya, kerja pembaikan itu dijangka siap tengah hari esok.

“Bagaimanapun untuk perkhidmatan MRT, kita sudah pulihkan semula bekalan dengan menggunakan saluran alternatif pada kadar segera semalam,” katanya.

Tambahnya, beliau meminta kerjasama semua pihak yang menjalankan kerja pengorekan merujuk TNB terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 7:35pm
d