mutakhir

Mapim: Walid perlu tarik semula kenyataannya

Oleh Mahaizura Abd Malik

PERTIKAIAN dana yang didakwa tidak sampai ke Kompleks Masjidil Aqsa dikhuatiri menimbulkan kekeliruan dan menghakis keyakinan orang ramai menyumbang.

Pengarah Wakaf dan Infak Aqsa Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Johan Ariff berkata, pihaknya terguris dengan kenyataan dikeluarkan Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali yang menyukarkan lagi usaha pihaknya mendapatkan dana untuk rakyat Palestin.

“Kita membina hubungan ini sejak sekian lama, tetapi kenyataan ini akan mencalar kepercayaan penderma kepada kita.

“Pengalaman kita, jika sumbangan disampaikan melalui kerajaan kepada kerajaan akan menimbulkan masalah termasuk birokrasi dan melambatkan proses penyampaian bantuan itu kepada penerima disasarkan,” katanya.

Menurutnya, Mapim mengulangi pendirian dibuat bersama rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain supaya Walid menarik semula kenyataannya.

“Sepatutnya dia (Walid) memanggil semua NGO di Malaysia untuk mendapatkan gambaran sebenar termasuk laporan bantuan disalurkan terlebih dulu.

“Kenyataannya yang serkap jarang seolah-olah bantuan tak sampai menunjukkan NGO yang memperjuangkan Palestin tidak telus dan ini memberi satu gambaran tidak sihat,” katanya.

Katanya, semua NGO di Malaysia yang mengumpulkan dana pembangunan Palestin mempunyai orang tengah yang berhubungan rapat di sana dan ia berterusan sejak hampir 10 tahun lalu.

“Kita bekerja dengan wakil di sana sudah lama, sudah ramai yang kita bantu menerusi sumbangan.

“Apa yang perlu diketahui, Kompleks Masjidil Aqsa yang kita bantu mempunyai sekolah, klinik dan kawasan perniagaan, bukan kepada orang perseorangan semata-mata.

“Semua amanah orang ramai sudah kita sampaikan melalui pelbagai saluran termasuk program berbuka puasa, ambulans untuk klinik dalam Aqsa selain bantuan kepada pesakit dirawat di Hospital Wakaf Maqased.

“Bantuan juga dihulurkan kepada beberapa Masjid di Hebron (Al Khalil) dan Masjid Ibrahimi serta beberapa program berbuka puasa di kem pelarian di Baitulmaqdis,” katanya.

Selasa lalu, Walid mendedahkan pihaknya mengesan dana rakyat Malaysia untuk pembangunan dan pembebasan al-Aqsa tidak sampai ke Jabatan Wakaf Baitulmaqdis selain mengakui wujud penyelewengan membabitkan NGO.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 7:49pm
d