mutakhir

Setia seorang isteri

Oleh Mahaizura Abd Malik

MULIANYA hati seorang isteri apabila setia berkorban menjaga suaminya yang lumpuh sejak 32 tahun lalu.

Malah, sejak sekian lama, wanita itu tidak berputus asa mengharap dan menitipkan doa supaya suami dikasihinya itu dikurniakan keajaiban dapat berjalan semula sebelum dirinya dijemput Ilahi.

Hasrat wanita itu meruntun hati lebih 7,000 penonton yang menghadiri ceramah Ebit Lew, Keluarga Sunnah #PerbaikiDiri, di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Wanita terbabit sambil menangis berkongsi dugaan dialaminya pada program berkenaan berkata, kehidupan dia dan suaminya tidak seperti pasangan lain apabila mereka diuji sejak melayari bahtera rumah tangga.

“Saya diuji seawal perkahwinan, suami saya lumpuh. Alhamdulillah kembali sihat tetapi lumpuh lagi buat kali kedua sampai sekarang.

“Setiap malam saya berdoa, sebelum pejam mata saya nak lihat suami saya berjalan dan sihat macam orang lain.

“Saya juga harap anak-anak saya menghormati bapa dia macam menghormati bapa yang sihat,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook rasmi pendakwah berkenaan kelmarin, hingga meraih lebih 2.2 juta tontonan.

Dalam perkongsian sama, wanita terbabit turut meminta Ebit supaya mendoakan diri dan suaminya supaya tabah menghadapi dugaan berkenaan.

“Saya mohon pada ustaz, doakan suami saya sihat dan kuat. Doakan saya juga kuat menghadapi (melayan) dia,” katanya.

Sementara itu, suaminya yang hadir dengan berkerusi roda mengakui dugaan berat berkenaan membuatkan dirinya hampir patah semangat.

“Banyak dugaan, bila kita tahu lumpuh...sebagai orang baru berkahwin...banyak suara-suara dari luar kedengaran. Saya tahu kekuatan saya sudah hilang, tetapi Alhamdulillah saya masih (mampu) bekerja sampai sekarang.

“Saya hendak ucapkan berbanyak terima kasih kerana masih setia kepada saya,” katanya menzahirkan penghargaan itu kepada isterinya.

Pasangan berkenaan mengakhiri bicara mereka dengan bersalaman dan berpelukan hingga membuatkan hadirin tersentuh hati dan menitiskan air mata.

Sementara itu, Ebit yang dihubungi berkata, wanita itu tampil ke pentas utama ketika sesi soal jawab program dua minggu lalu sebelum berkongsi kisahnya.

Katanya, kemuliaan hati wanita itu menjaga suaminya yang tidak berdaya satu teladan baik dan harus dicontohi pasangan lain.

“Bukan saja saya, malah hadirin juga kagum dengan kesetiaan dan ketabahannya. Kalau ikutkan dari segi hukum, jika suami tidak beri nafkah empat bulan, isteri berhak minta dilepaskan tetapi agungnya cinta wanita itu.

“Maknanya dia mahu bercinta sampai mati dan ke syurga bersama suaminya itu. Semoga dia terus kuat dan setia menyayangi suaminya. Mudah-mudahan apa yang dilakukannya ini tidak sia-sia dan Allah balas jasanya di akhirat kelak,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 9:33pm
d