mutakhir

Main sorok-sorok pula...

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SERBUAN ke atas dua rumah tidak bernombor di Gopeng pada awalnya bertukar hampa apabila mendapati premis itu kosong tidak berpenghuni.

Bagaimanapun, anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak mengesan sesuatu yang mencurigakan apabila terdapat banyak barangan seperti pakaian dan perabot.

Penghuni terbabit yang bersembunyi kembali semula ke rumah tidak lama kemudian kerana menyangka pihak berkuasa sudah beredar, sebelum 12 warga asing itu ditahan oleh anggota imigresen.

Ia antara kejadian berlaku dalam Operasi Bersepadu JIM Perak bermula 9.30 malam semalam dan berakhir jam 2.30 pagi hari ini.

Pengarah JIM Perak, Kamalludin Ismail berkata, pihaknya memeriksa 16 premis di Ipoh, Gopeng, Taiping, Bagan Serai dan Kuala Kurau.

Menurutnya, ia membabitkan premis perniagaan, kedai tomyam, kedai makan, gudang pasar raya, rumah, rumah kongsi dan pusat refleksologi.

“Kita memeriksa seramai 123 warga asing, namun 58 daripada mereka berusia 16 hingga 40 tahun dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan terdiri 21 warga Thailand, Bangladesh (17), Myanmar (12), Nepal (3), Indonesia (2) serta masing-masing seorang warga Pakistan dan India.

“Turut ditahan adalah seorang warga tempatan dipercayai majikan di pusat refleksologi terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas lawatan, tinggal lebih masa dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 9:49pm
d