mutakhir

Masalah bekalan kuasa punca gangguan MRT

Oleh BERNAMA

GANGGUAN bekalan kuasa menjadi punca kepada kelewatan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh ke Kajang (SBK), semalam.

Ketua Pegawai Operasi MRT, Azmi Mohd Zain berkata, bekalan kuasa dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu terputus bermula dari stesen Kajang kira-kira 12 tengah hari.

“Keadaan itu menyebabkan bekalan tenaga berterusan atau Uninterruptable Power Supply (UPS) serta peralatan pelbagai sistem isyarat terjejas di antara stesen Kajang dan stesen Batu 11, Cheras.

“Ia juga mengakibatkan tiga tren yang sedang bergerak di laluan berkenaan turut terhenti,” katanya pada sidang media, hari ini.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya, mod perkhidmatan alternatif dilaksanakan dengan meneruskan sistem Automatic Train Operation (ATO).

“Bagaimanapun, penumpang dikehendaki turun dan beralih ke stesen Taman Suntex dan stesen Bandar Tun Hussein Onn.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma bagi penumpang yang terjejas di antara stesen Bandar Tun Hussein Onn dan stesen Kajang,” katanya.

Jelasnya, ATO turut dilanjutkan dari stesen Sungai Buloh ke stesen Sungai Jernih, manakala perkhidmatan MRT dari stesen Sungai Jernih ke stesen Kajang disediakan dengan dua tren yang dikendalikan secara manual.

Susulan itu, Azmi berkata, pihaknya menubuhkan jawatankuasa siasatan yang akan melakukan kajian terperinci selain mencari langkah pengawalan untuk mencegah masalah sama pada masa depan.

Secara keseluruhan, Azmi berkata, perkhidmatan MRT bagi laluan SBK kembali normal pada 6 pagi tadi selepas lebih 11 jam tidak dapat beroperasi dengan baik.

“Kami kesal dengan kelewatan perkhidmatan yang berlaku,” katanya.

Sementara itu Ketua (Operasi dan Penyelenggaraan), Bahagian Rangkaian Pengedaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mohd Yusof Ibrahim berkata, gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan perkhidmatan MRT semalam, berpunca daripada kerosakan kabel elektrik akibat kerja pengorekan oleh pihak ketiga.

Mohd Yusof berkata, kerja pengorekan itu menyebabkan berlaku kerosakan kabel antara pencawang masuk utama (PMU) di Kajang dan stesen suis utama (SSU) di Stesen MRT Kajang.

Menurutnya, pihak TNB tidak menerima sebarang makluman daripada pihak terbabit sebelum mereka menjalankan kerja pengorekan di sekitar kawasan Sungai Chua, Kajang.

“Pihak TNB sudah mengeluarkan perintah henti kerja kepada mereka sementara waktu dan pihak TNB akan mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit esok,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan ke tapak kerja-kerja pengorekan oleh pihak ketiga itu, hari ini.

Kerosakan kabel itu mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di Stesen MRT Kajang selama 70 minit iaitu bermula 12.09 tengah hari dan kembali pulih sepenuhnya pada 1.19 tengah hari semalam dengan menyalurkan bekalan elektrik alternatif.

Beliau berkata, bagaimanapun, TNB sedang menjalankan kerja membaik pulih serta mengganti semula kabel yang rosak itu dan ia dijangka siap sepenuhnya kira-kira 12 tengah hari esok.

Mohd Yusof juga memohon kerjasama semua pihak yang ingin menjalankan kerja pengorekan supaya merujuk kepada pihak TNB bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat untuk mengelak perkara sebegitu berulang.

Berita berkaitan

TNB tuntut pampasan rosakkan kabel

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 11:19pm
d