mutakhir

PRESMA kesal laporan tidak tepat

Oleh HM Digital

PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) kesal dengan laporan tidak tepat mengenai operasi di restoran di Pulau Pinang semalam.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ia memberikan persepsi buruk kepada restoran terbabit yang didakwa mempunyai bangkai tikus walaupun sebenarnya dijumpai di sebuah kedai runcit dalam operasi sama.

Katanya, keadaan itu menyebabkan jualan di salah sebuah restoran terjejas kerana kesalahan laporan media terbabit.

“Dalam operasi dijalankan Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semalam, kita difahamkan tiga restoran diarahkan tutup.

“Tetapi dalam laporan media mengatakan Restoran Deen Maju diarahkan tutup sedangkan pemiliknya hanya menerima kompaun.

“Begitu juga dengan penemuan bangkai tikus. Ia bukan ditemui di restoran itu, tapi bila dilaporkan begitu, ia memberikan gambaran buruk bukan saja kepada restoran berkenaan, tetapi keseluruhan rangkaian restoran muslim,” katanya kepada Harian Metro.

Jawahar Ali berkata, PRESMA tidak mempersoalkan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan, tetapi mengharapkan laporan media yang lebih tepat pada masa akan datang.

Menurutnya, ini bukan kali pertama masyarakat menyalahkan pengusaha restoran muslim malah setiap kali ada isu kebersihan, nama restoran mamak akan dikaitkan.

“Kita terima hukuman dikenakan dan kita akur. Tetapi jika ia berpunca daripada laporan berat sebelah, maka kami perlu tampil mendedahkan perkara sebenar.

Katanya, PRESMA akan mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya perkara seperti ini berulang lagi pada masa depan.

“Saya harap isu ini tidak diperbesarkan dan PRESMA berusaha memastikan ahli dan ahli gabungan menitikberatkan soal kebersihan dan kualiti makanan kepada pelanggan.

“Kita juga faham tugas media, cuma dalam isu tertentu janganlah terlalu ghairah sehingga ia boleh menimbulkan fitnah,” katanya.

Berita berkaitan

Gelinya telur tak basuh [METROTV]

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 3:59pm
d