mutakhir

Bangga, UiTM menuju era kampus digital

Oleh Ruwaida Md Zain

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) mengambil langkah ke hadapan memperkenalkan inisiatif Education 5.0 dengan mewujudkan Kampus Digital UiTM (UiTM Digital Kampus).

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, usaha ini bagi memastikan UiTM kekal relevan, menjadi lebih cemerlang, seterusnya menjadi 'trendsetter' kepada universiti lain di negara.

"Memorandum yang ditandatangani ini memudahkan UiTM melaksanakan satu inisiatif yang dipanggil Education 5.0 di mana kita menggunakan teknologi terkini untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, perbincangan dan juga kerja pengurusan.

"Usaha ini mendapat kerjasama strategik dan disokong oleh lima syarikat iaitu Cisco, Telekom, IX Telecom, SIRIM Bhd dan ASCUBT Sdn Bhd.

"Ini semua menggunakan kekuatan teknologi 100Gbps menerusi Private Network UiTM, UiTM satu-satunya organisasi yang mempunyai teknologi ini melancarkan segala usaha pembelajaran dan pengajaran," katanya selepas Majlis menandatangani MOU UiTM bersama lima buah syarikat dalam merealisasikan penubuhan Kampus Digital UiTM di Bangunan Canseleri UiTM Shah Alam tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden SIRIM Bhd, Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani; Naib Presiden Teknologi Perniagaan TM ONE, Nizam Arshad; Presiden Cisco Asean, Naveen Menon; Ketua Pegawai Eksekutif IX Global Sdn Bhd, Zainoriza Zainuddin dan Pengarah ASC Ubiquitous Business Transformation Sdn Bhd, Zubaidah Abd Karim.

Mohd Azraai berkata, projek ini sudah bermula tahun lalu membabitkan pelajar di peringkat pasca siswazah.

"Sudah bermula di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Fakulti Sains Komputer tahun lalu. Buat masa ini fakulti tertentu sahaja tetapi akan diperluaskan ke semua fakulti dari masa ke semasa.

"Maklum balas pelajar, mereka sangat gembira, jika tidak mereka (pelajar program Pasca Siswazah) perlu datang ke kelas di Shah Alam misalnya, terutamanya yang berada di seluruh negara akan menyukarkan mereka untuk datang.

"Dengan teknologi ini, mereka tidak perlu ke kampus Shah Alam, mereka boleh teruskan aktiviti pembelajaran dengan peralatan yang mereka ada terutamanya komputer riba, mereka boleh mengikuti perbincangan dalam kelas di mana saja mereka berada. Ia sangat memberi kemudahan kepada pelajar, mereka gembira menggunakan cara ini," katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah universiti besar yang mempunyai 30 buah kampus membabitkan 180,000 pelajar, teknologi seumpama itu penting.

"Ini bagi melancarkan aktiviti pembelajaran, pengajaran, mesyuarat, perhimpunan dan sebagainya.

"Kita lihat tadi bukan hanya dibuat di dalam negara tetapi juga mesyuarat, perbincangan dengan rakan di luar negara," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 6:48pm
d