mutakhir

Bantu cari Abdul Rahman...

Oleh Safuri Kamarudin

LELAKI orang kurang upaya (OKU) yang mengalami gangguan ingatan dikesan kerana gagal pulang ke rumah keluarga sejak semalam.

Abdul Rahman Hamid, 51, dari Kampung Telok Teduri, Mukim Pulai, Baling dipercayai keluar rumah pada waktu pagi dengan menunggang motosikal Honda EX5.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, berdasarkan maklumat keluarga, lelaki itu dilihat kali terakhir sedang minum di sebuah kedai di kampung itu pada 9 pagi semalam.

Menurutnya, lelaki itu tinggal bersama ibunya dan menjadi kebiasaan bersarapan di kedai terbabit.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu dilihat oleh orang awam berada di Masjid Kampung Sidam Kiri, Sungai Petani pada waktu Subuh hari ini.

“Dia menunggang motosikal bernombor pendaftaran KBA 2365 dengan berseluar pendek dan baju kemeja petak berwarna biru,” katanya.

Menurutnya, setakat ini tiada maklumat berkaitan lelaki itu yang perlu mendapatkan rawatan setiap bulan kerana mengalami gangguan ingatan.

Orang ramai yang mengenali Abdul Rahman atau mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 8:57pm
d