mutakhir

Seronok bertukar tragedi

Oleh Syaherah Mustafa

KANAK-kanak berusia sembilan tahun ditemui lemas oleh penduduk kampung selepas dipercayai mandi bersama dua rakannya di tali air di Kampung Pauh, Pasir Mas, hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa, Mohamad Danish Erieyka Haris ditemui penduduk yang kebetulan berada berdekatan lokasi itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam jam 5.06 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas terbabit dalam misi mencari dan menyelamat mangsa.

“Namun sebaik sampai, anggota kami mendapati dua rakan mangsa dalam keadaan selamat manakala Mohamad Danish kritikal sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Pasir Mas (HPM).

“Sekumpulan kanak-kanak terbabit dipercayai mandi sekadar suka-suka di tali air sebelum dikejutkan dengan tragedi meragut nyawa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shapawi berkata, kejadian sama baru saja berlaku pada 19 Februari lalu di kawasan berdekatan yang turut mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dari Kampung Belukar.

“Saya menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak-anak terutama yang masih kecil agar tragedi sebegini tidak berulang lagi.

“Tambahan pula, jika kawasan kampung berdekatan anak sungai atau tali air yang mana ada risiko besar untuk anak-anak mandi. Mereka mungkin hanya fikirkan keseronokan tanpa mengetahui bahaya yang ada.

“Pihak bomba sentiasa bersedia memberi khidmat jika berlaku sebarang kecemasan namun kerjasama semua pihak termasuk keluarga dan ibu bapa diperlukan bagi menghalang berlaku sebarang kemalangan jiwa,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 10:31pm
d