mutakhir

Pasukan Audit Keselamatan pantau kerja kontraktor

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

IKATAN Komuniti Selamat mencadangkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menubuhkan Pasukan Audit Keselamatan bagi memantau dan memeriksa kerja yang dilakukan oleh kontraktor atau sub kontraktor.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, audit keselamatan perlu dilakukan ke atas semua projek berkaitan dengan pembangunan dan penyelenggaraan PBT.

“Terlalu kerap kita lihat kontraktor atau sub kontraktor yang terbabit dalam kerja-kerja penambahbaikan jalan dan kemudahan infrastruktur tidak mementingkan dan memberi keutamaan kepada keselamatan awam ketika melakukan kerja berkenaan.

“Sebagai contoh, kerja jalan atau aktiviti pembinaan yang dijalankan oleh kontraktor di pelbagai lokasi di Lembah Klang menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan pengguna jalan raya atau penduduk berdekatan.

“Terdapat kes runtuhan atau sisa pembinaan jatuh dari tapak pembinaan yang memberi kesan kepada rumah kediaman.

“Malah kren juga jatuh dan ini boleh menimbulkan masalah keselamatan yang serius,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jalan berlubang dan permukaan tidak rata terdapat di banyak jalan di kawasan pembinaan sekali gus menyebabkan kesulitan pergerakan lalu lintas serta mengundang risiko kemalangan.

Beliau berkata, barikade yang dipasang di jalan raya juga tidak selamat dan terdapat papan tanda tidak mencukupi untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya terutama pada waktu malam hingga menimbulkan risiko kepada pengguna.

“Bagi pembinaan di lebuh raya, barikade yang didirikan berhampiran persimpangan jalan tanpa lampu isyarat mesti direndahkan untuk membolehkan pengguna jalan raya mengesan lalu lintas yang sedang dilalui ketika menyeberang persimpangan ini.

“Saya menggesa pihak berkuasa untuk menguatkuasakan Akta Jalan, Parit dan Bangunan terhadap kontraktor yang gagal memulihkan jalan kepada keadaan asal selepas operasi penggalian selesai.

“Mengikut pindaan yang diluluskan oleh parlimen, kontraktor yang tidak bertanggungjawab boleh kenakan didenda sehingga RM 100,000,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 11:45am
d