mutakhir

Ayam RM6 seekor habis dalam sejam

Oleh Nazri Abu Bakar

AYAM lelong berharga RM6 seekor habis dijual tidak sampai sejam sempena Program Bazar Peduli Rakyat (BPR) di Durian Tunggal, Melaka, hari ini.

Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu turut menawarkan pelbagai hasil tani lain yang lebih murah daripada harga pasaran.

Harga berkenaan diumumkan Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Kemudahan Awam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Sofi Abdul Wahab.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga FAMA, Ishak Ismail; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia, Datuk Mazlan Aliman; dan Pengrah FAMA Negeri Melaka, Che Samudin Hassan.

Pelbagai aktiviti lain diadakan termasuk kaunter perkhidmatan pelanggan FAMA, LPP, penyerahan ‘Jom Kongsi Rezeki’ dan demonstrasi kuih bahulu tradisional.

Ishak berkata, sasaran enam Bazar sepanjang 2020 membabitkan daerah Melaka Tengah Jasin dan Alor Gajah dengan nilai jualan RM600,000.

Sementara itu, peniaga ayam, Naza Ali berkata, dia membawa 300 ayam dan tidak menduga ianya habis dalam tempoh sejam.

Bagaimanapun, setiap pelanggan terhad membeli seekor ayam sahaja bagi memberi peluang kepada lebih ramai untuk mendapatkannya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 12:51pm
d