mutakhir

Disepakati semua pihak

Oleh Samadi Ahmad

PERALIHAN kuasa perdana menteri yang diserahkan sepenuhnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad adalah keputusan terbaik selepas disepakati semua pihak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua pihak telah memberi pandangan dan menimbang setiap perkara hasil dari keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam tadi.

Menurutnya, kerajaan PH juga terus berfungsi seperti biasa walaupun menerima pelbagai berita dan spekulasi dari penganalisa politik dan sebagainya.

“Semua pihak seharusnya menghormati hasil keputusan melalui mesyuarat Majlis Presiden PH dan selain itu banyak perkara sudah dibincangkan termasuk mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan (AGM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pasar Raya Desa Segar di Southville City, Dengkil, hari ini.

Mesyuarat Majlis Presiden PH menetapkan peralihan kuasa perdana menteri dipersetujui semua pihak untuk diserahkan kepada Dr Mahathir bagi menetapkan tarikh sesuai meletak jawatan.

Saifuddin berkata, AGM PH yang berlangsung malam tadi berjalan dengan baik termasuk mengekalkan jawatan Pengerusi PH, Tun Mahathir, Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, AGM yang diadakan sehingga jam 12 malam itu turut meluluskan penyata tahunan dan kewangan PH.

Katanya, mesyuarat juga membincangkan kedudukan Ketua Pemuda dan Wanita PH yang sebelum ini tidak diwujudkan dalam undang-undang tubuh PH .

“Majlis mesyuarat telah meluluskan dan meminda dengan memasukkan fasal 8.39 yang menyebut bahawa Majlis Presiden boleh melantik seorang Ketua Pemuda dan Wanita dari kalangan penjawat jawatan pemuda dan wanita dari parti komponen yang dicadangkan sayap.”

“Kita juga membincangkan pilihan raya umum (PRU) Sarawak yang juga tempoh matangnya sehingga September 2021,” katanya.

Ketika ditanya pemberita berkenaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak di sebuah hotel selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH, beliau berkata tidak menerima sebarang maklumat berkaitan perkara itu.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 1:11pm
d