mutakhir

Balu boleh rujuk JAKIM

Oleh Asrol Awang

BALU yang berasa terabai dan berdepan isu berkaitan pembahagian harta pusaka boleh merujuk dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, ini kerana JAKIM melalui Pusat Kaunseling Keluarga mempunyai kaunselor sedia memberi khidmat nasihat.

Katanya, sekiranya tidak melalui JAKIM, khidmat nasihat boleh didapati di institusi agama seperti di masjid dan surau yang mempunyai pembimbing dalam meringankan beban yang ditanggung balu berkenaan

“Apa yang penting ialah balu tidak berasa keseorangan kerana simpati rakyat memang seharusnya bersama mereka selepas kematian suami,” katanya ketika diminta mengulas isu balu berdepan masalah harta pusaka selepas kematian suami.

Fuziah ditemui media selepas merasmikan Kursus Kesedaran dan Bengkel Pendaftaran Persijilan Halal 2020 peringkat Pahang di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, hari ini.

Pada program itu, 170 peserta meningkatkan kesedaran berhubung pentingnya pensijilan halal pada produk.

Hadir sama, Pengarah Kanan Pengurusan Dana Infaq dan Pembangunan SosioekonomiYayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Mohammad Zamri Zakaria.

Dalam urusan pembahagian harta pusaka, Fuziah berkata, waris yang berhak perlu segera melantik wasi (pentadbir harta) bagi mengumpul dan mencairkan harta si mati yang ada untuk dibahagikan kepada waris yang layak.

Katanya, Amanah Raya juga boleh dilantik bagi membantu menguruskan pembahagian harta si mati.

“Jika isteri si mati mahu menuntut harta sepencarian (sebelum harta difaraidkan), balu boleh memohon bantuan daripada Jabatan Bantuan Guaman bagi mewakili beliau dalam perbicaraan secara percuma.

“Sijil faraid boleh dikeluarkan secepat mungkin selepas pendaftaran kes dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Sijil faraid penting bagi menentukan ahli waris yang layak menerima harta pusaka si mati,” katanya

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 1:20pm
d