mutakhir

Gangguan bekalan air di empat daerah

Oleh Mohd Amin Jalil

SEBAHAGIAN besar penduduk di empat daerah di Negeri Sembilan akan menghadapi gangguan bekalan air sementara bagi tempoh 24 jam pada 25 Februari ini berikutan kerja penyelenggaraan di loji rawatan air (LRA) dan penggantian S-Bend.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Norzita Ismail berkata, empat daerah terbabit ialah Port Dickson, Rembau, Jelebu dan Seremban.

Beliau berkata, penutupan akan bermula dari 8 pagi 25 Februari hingga 8 pagi hari berikutnya.

“Di Port Dickson, kawasan terbabit ialah Linggi, Pengkalan Kempas, Pekan, Kampung Pasir Panjang, Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Hotel Hibiscus, Kem Segenting, Hotel Blue Lagoon, Permaisuri Resort, Hotel Ilham, Kem Pengaman, seluruh Batu 9 Jalan Pantai, Hotel Thistle, Politeknik Port Dickson.

“Sekitar kawasan Batu 8, Batu 7 dan Batu 6 Jalan Pantai, sebahagian Kampung Sawah Sunggala, Hospital Besar Port Dickson, perumahan tentera Batu 5 sehingga sebahagian kawasan Batu 4 Jalan Pantai,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Beliau berkata, bagi daerah Rembau pula, kawasan terbabit ialah Kampung Kundur Hilir, Kolej Kemahiran Tinggi, sebahagian kawasan Lubuk Cina, sekitar kawasan Semerbok dan Kampung Titian Bintangor.

Katanya, kawasan Jelebu yang terbabit ialah Kampung Semarak Singkong, Taman Nagamas, Taman Titi, Taman Sri Jelebu, Taman Bukit Kempas, Taman Sri Kenaboi, Pekan Baru, MRSM, Ladang Jelebu, Taman Chempedak, Taman Teja, Taman PDRM, Taman Angsana, Taman Jati, Taman Irama, Taman Mahogani, Kolej Komuniti, Seperi Hilir, Tengah dan Hulu.

“Manakala bagi Seremban, kawasan terbabit ialah seluruh Mantin, Lenggeng, Broga, Pajam, Nilai, Kuarters KLIA, Kampung Jijan, Kampung Kubang, Kampung Tanjung, seluruh Batang Benar, seluruh Taman Semarak, Perindustrian Nilai, Arab Malaysian Nilai 3 dan Nilai Impian.

“Selain itu, Nilai Spring, seluruh kawasan Bandar Baru Nilai, seluruh Desa Cempaka, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai Medical Centre, Kampung Felda LBJ, Industri Eco Park Enstek, Bandar Pendidikan Enstek, Gadong Jaya, Labu, Labu Hilir, Jimah, Gadong dan Sendayan," katanya.

Norzita berkata, penghantaran lori tangki dan penempatan tangki statik akan dilakukan jika penutupan melebihi 24 jam.

Beliau berkata, bekalan air akan disambungkan semula secara berperingkat, namun beberapa kawasan tinggi dijangka akan mengalami tempoh pembaikan lebih lama.

“Kerja dilakukan antara usaha berterusan SAINS dalam menambah baik dan meningkatkan mutu bekalan air demi kepentingan pelanggan.

“Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6982,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 3:02pm
d